Ramadhan yang manis (A Samad Said)

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketakwaan penuh terhadap Ilahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.
Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadhan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur, tanah yang rekah,
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredai.
Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Ilahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.
Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

A. Samad Said
Bangsar Utama
9-13 September 2001

(salin & tampal dari sumber internet, gunakan google untuk mencari)

Selamat Datang Bulan Ramadhan, Ya Allah Sampaikanlah Kami ke Bulan Ramadhan.. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemaaf, Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami, Ibu Bapa kami, dan seluruh mu’minin & mu’minat,  muslimin & muslimat. amiin..

Salam Eidul Fitri 1431H

Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya,  selamat tinggal bulan Ramadhan,  moga tahun depan kita berjumpa lagi. Moga Ramadhan ini menjadi titik perubahan kepada kita untuk menjadi muslim yang bertaqwa dan yang penting, moga kita sama-sama mendapat keredhaan dan keampunan Allah.

Dengan penuh merendah diri, kami sekeluarga mengucapkan mengucapkan Salam Eidul Fitri kepada semua umat Islam, dan kami memohon kemaafan  sekiranya ada sebarang kesilapan sama ada yang kami sengajakan atau tidak, dan kesalahan yang kami sedari atau tidak.

Daripada Aisyah R.Anha, Nabi S.A.W bersabda “Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Engkau menyukai keampunan maka ampunkanlah daku” (Riwayat At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Sidik @ Alamini.net
26 Ramadhan 1431 H

Ramadhan

Salam ramadhan dari alamini.net

Salam ramadhan dari alamini.net

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi s.a.w bersabda “Puasa adalah pelindung dari api neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.” (Maksud Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kemana perginya perasaan itu?

Aku masih ingat waktu sekolah, bila bulan puasa nak datang, ada satu perasaan teruja dan gembira kerana nak puasa.

Tapi sekarang perasaan tu dah macam beransur hilang, Ramadhan datang rasa macam biasa, Ramadhan pergi pun rasa macam biasa.. macam hari-hari biasa..ke mana perasaan tu hilang?

Ya Allah, bantulah aku membasuh titik-titik hitam di hati ini..

Ramadhan 2 Zaman (the Zikr)

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza
Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur’an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur

Mereka berlumba mengejar ma’rifah
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga